Sunday, 18 August 2013

Resepi Nasi Dagang Terengganu

 

RESEPI NASI DAGANG TERENGGANU



Pengenalan


Resepi Nasi Dagang Terengganu merupakan makanan yang mengandungi hidangan nasi kukus, gulai ikan tongkol dan acar timun. Resepi Nasi Dagang Terengganu juga dihidangkan bersama-sama dengan telur rebus. Makanan ini dikenali sabagai menu sarapan pagi di negeri Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan. Selain itu, Nasi Dagang juga turut dikenali di Pattani, Yala dan Narathiwat di Selatan Thailand. Nasi Dagang dikatakan berasal dari Kampung Ladang yang terletak di daerah Kuala Terengganu. Resepi Nasi Dagang juga terkenal sebagai makanan keramaian di Terengganu dan Kelantan kerana kerap dihidangkan pada pagi Hari Raya Aidilfitri.


Resepi Nasi Dagang Terengganu ini biasanya dihidangkan ketika sebelum atau selepas umat Islam menunaikan Solat Sunat Hari Raya. Nasi Dagang merupakan hidangan tempatan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Jenis makanan ini dikenali sebagai Nasi Dagang adalah kerana makanan ini hanya mempunyai satu lauk sahaja (tanpa acar timun). Nasi Dagang Kelantan biasanya bewarna coklat kerana menggunakan beras berbeza yang dikenali sebagai 'beras dagang'. Di Johor dan sesetengah daerah di Pahang seperti Raub, Pekan, Temerloh dan Kuantan, terdapat juga versi-versi Nasi Dagang yang menggunakan kuah laksa sebagai kuah pilihan.


Resepi Nasi Dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak dengan santan kelapa. Nasi Dagang Terengganu dihidangkan dengan kuah Nasi Dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya adalah ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar dan akan dipotong dengan kecil. Selain itu, acar timun juga akan disediakan. Di Kuala Terengganu, terdapat lebih kurang tiga resepi Nasi Dagang yang paling popular dan sedap sekali. Di bandar Kuala Terengganu, terdapat Nasi Dagang Kak Yah di Batu Burok, manakala di Bukit Besar terdapat Nasi Dagang Bukit Besar. Di Chendering pula terdapat Nasi Dagang Mak Ngah.


Gulai ikan yang disediakan bersama-sama Nasi Dagang juga dikenali sebagai gulai darat. Ikan tongkol merupakan bahan utama dalam penyediaan gulai ini. Selain daripada ikan tongkol, ikan tenggiri juga boleh digunakan. Sekiranya tidak menggunakan ikan, udang besar juga boleh dimasak dengan gulai. Gulai ini dimasak mengikut cara masakan gulai orang Melayu bukan seperti gulai Mamak. Untuk menyediakan gulai ini, santan dimasak bersama-sama dengan campuran herba dan rempah Melayu seperti serai, lengkuas, cili giling dan kunyit.



Resepi Nasi Dagang Terengganu


Bahan-Bahan untuk Nasi Dagang

(Sesuai untuk 4-5 orang)

1/2 cawan beras pulut

2 cawan beras wangi

1 sudu makan halba

3 cawan santan (1 biji kelapa)

1 sudu makan gula

Garam dan gula secukup rasa

5 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

2 inci halia



Cara-Cara untuk Menyediakan Nasi Dagang



1) Pertama sekali, beras pulut dan beras biasa disatukan dan dibasuh. Rendam untuk beberapa jam.

2) Panaskan kukusan dan kukus beras sehingga naik wap (lebih kurang 30 minit).

3) Keluarkan beras dan masukkan ke dalam mangkuk, kemudian siram dengan air (biar nampak basah).

4) Kukus semula beras sampai masak untuk lebih kurang 1 jam.

5) Sementara itu, campurkan santan dengan bawang merah, halba dan sedikit garam dan gula. Masakkan seketika dengan menggunakan api kecil.

6) Beras yang telah masak dikeluarkan ke dalam mangkuk dan siram dengan santan. Gaul rata dan kukus semula lebih kurang 5–10 minit.

7) Akhirnya, sedia dihidangkan.


Gulai Ikan Tongkol

Bahan-Bahan untuk Ikan

1 ekor ikan tongkol

3 keping asam keping

Sedikit garam

Air secukupnya

1) Bersihkan ikan tongkol dan potong.

2) Masukkan dalam periuk dan masukkan asam keeping, garam dan air.

3) Air hendaklah melebihi paras ikan.

 

4) Masak dengan api sederhana sehingga air tinggal lebih kurang 1/4.

5) Lagi lama ikan dimasak lagi sedap, isi ikan pun lebih pejal.




Bahan-Bahan untuk Kuah

4 sudu besar cili mesin

7 biji bawang merah

3 ulas bawang putih

1 inci halia

1 inci lengkuas

1 inci kunyit hidup

3 sudu besar rempah gulai nasi dagang

(boleh guna rempah cap bunga ros)

2/3 cawan santan fresh/ pekat

4 cawan air

Air asam jawa

Sedikit belacan (Optional)

Nisan/ gula melaka

Garam dan gula secukup rasa

7-9 biji cili padi

minyak



Bahan-Bahan Penumis

1 batang kulit kayu manis

5 kuntum bunga cengkih

3 biji buah pelaga

1 kuntum bunga lawang




Cara-Cara untuk Menyediakan Gulai Ikan Tongkol

1) Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan-bahan penumis.

2) Biarkan sehingga wangi dan masukkan cili mesin. Goreng sehingga cili mesin menjadi garing.

3) Campur dan blendkan bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan kunyit hidup, kemudian masukkan ke dalam periuk. Masak sehingga sedikit kering dan masukkan rempah gulai.

4) Masukkan 1/2 cawan air dan masak lagi sehingga garing dan pecah minyak.

5) Masukkan lebihan air dan masak sehingga mendidih.

6) Masukkan santan dan renihkan sehingga kuah mendidih sambil sesekali mengacau.

 

7) Masukkan air rebusan ikan, jus asam jawa, belacan, nisan/ gula melaka, garam dan gula secukupnya.

8) Masak sehingga kuah sedikit pekat dan masukkan ikan yang sudah dimasak tadi.

9) Renih lagi kuah sehingga mencapai kepekatan yang disukai.

10) Sekiranya kuah terlalu pekat dan tidak pecah minyak lagi bolehlah tambah air panas dan masak semula sehingga keluar minyak.

11) Masukkan cili padi dan masak lagi sekejap, tutupkan api selepas siap dimasak.

Tips: Ikan tersebut akan lebih sedap kalau direbus lebih awal dan dibiarkan supaya rasa masam itu dapat meresap ke dalam isi ikan. Kalau ada belimbing buluh, boleh ditambah dalam gulai dan rasanya akan lebih enak.




Bahan-Bahan untuk Acar Timun

2 biji timun

1 batang lobak merah

1 ulas bawang merah

1 biji cili merah

Cuka, gula dan garam secukup rasa

Sedikit perahan limau kasturi (Optional)





Cara-Cara untuk Menyediakan Acar Timun

1) Semua bahan sayuran termasuk cili dan bawang dihiris memanjang.

2) Rendam sekejap hirisan timun dan lobak merah dalam air kapur. Toskan dengan segera.

3) Satukan sayuran, cili, bawang dalam sebuah bekas. Curahkan cuka dan perasakan dengan gula dan garam sesedap rasa.

4) Jika suka boleh tambah dengan sedikit perahan limau kasturi. Gaul sebati.

5) Biarkan ia mesra seketika sebelum sedia untuk dimakan.


Kepelbagaian rasa Nasi Dagang dari versi resepi yang berbeza telah menjadikan ianya begitu unik. Setiap tukang masak yang memasak Nasi Dagang juga mempunyai resepi dan cara masakan tersendiri. Maka amat payah untuk mendapatkan rasa Nasi Dagang yang sama di gerai atau restoran yang berlainan. Biasanya Nasi Dagang yang dibeli di gerai mengandungi nasi, gulai dan acar. Namun sekiranya dimasak di rumah, ia turut dihidangkan bersama dengan telur rebus, kelapa goreng dan sambal.


Selain daripada kombinasi nasi dan gulai, Nasi Dagang turut dihidangkan bersama lauk sampingan yang lain mengikut selera masing-masing. Nasi untuk Nasi Dagang akan dimasak dengan kaedah kukus. Sebelum beras dikukus, ia perlu direndam semalaman dahulu. Semasa proses memasak, beras ini akan dicampur dengan halba, bawang besar dan santan. Campuran halba akan memberikan aroma yang unik kepada nasi.